Jumaat, 6 Mac 2009

Waktu Yang Sesuai Menghantar Bayi Ke NURSERI

SEBENARNYA MENGIKUT PENDAPAT SAYA BERASASKAN ILMU DAN PENGALAMAN SAYA DAN JIKA KITA MEMAHAMI SETIAP ANAK ITU ADALAH ANUGERAH ALLAH S.W.T MAKA SETIAP ANAK ITU MESTILAH DIJAGA DAN DIDIDIK OLEH IBU BAPANYA SENDIRI. RUMAH PERLU DIANGGAP SEBAGAI UNIVERSITI UTAMA DAN PERTAMA MANAKALA IBU BAPA ADALAH PROFESOR UTAMA DAN PERTAMA.

Seharusnya pendidikan ini bermula sebelum berkahwin lagi iaitu pendidikan keibubapaan diintegrasikan ke dalam kursus pra perkahwinan. Juga dalam dunia yang amat mencabar ini, setiap bakal suami dan isteri mestilah menjalani pemeriksaan perubatan supaya dapat mengelakkan penyakit berjangkit seperti Hepatitis B, C, Sifilis dan HIV termasuk juga Talasemia yang boleh berjangkit kepada anak-anak.

Seterusnya ibu harus menjaga anaknya sendiri dari dalam kandungan lagi sehingga umur tiga tahun. Ini bermakna jika kita benar-benar serius tentang keturunan dan masalah kecederaan otak iaitu lahirnya anak kurang upaya, ibu yang bekerja seharusnya diberi cuti dari ia disahkan hamil sehingga anak berumur 3 tahun. Sekarang kita masih lagi mendebatkan cuti bersalin dilanjutkan dari dua bulan kepada enam bulan.
Ditanya kepada saya bila masa yang sesuai untuk ibu bapa yang bekerja menghantar anak ke nurseri atau taman asuhan kanak-kanak jawapannya adalah seawal umur 3 tahun. Tentu yang mendengar ini terperanjat dan 'bos' berasa marah dan tidak suka kepada Dr Noor Laily. Tetapi apa yang saya luahkan ini ialah perkara benar. Anak kecil juga perlu disusukan dengan susu ibunya sendiri sekurang-kurangnya 2 tahun.




Tapi jika kedua-dua ibu bapa bekerja apa yang harus dilakukan? Cuti bersalin bermula hanya lepas bersalin dan hanya 2 bulan. Selepas itu siapa pula yang akan menjaga bayi itu? Ada yang menggunakan pembantu rumah, ada yang menghantar anak ke nurseri atau rumah sebelah atau hantar balik kampung dijaga oleh datuk atau nenek atau saudara-saudara lain.


PERTAHANKAN HAK WANITA



Ibu bapa pula kadang-kadang terpisah, isteri di Kuala Lumpur, suami di Kota Bharu, anak di kampung atau nurseri. Ibu menjadi ibu dan 'isteri tinggal', ayah menjadi 'ayah tunggal' dan anak menjadi 'anak pajak gadai'. Ini banyak terjadi pada golongan-golongan seperti doktor, jururawat, anggota polis dan anggota tentera.



Pihak yang berkuasa harus memikirkan dengan serius perkara ini. Cadangan saya supaya cuti bersalin dipanjangkan lebih dari dua bulan seperti yang diamalkan oleh banyak negara Barat. Kita juga perlukan satu polisi mempertahankan hak wanita kerana saya pernah mewakili Malaysia dalam delegasi Persidangan Pembangunan Wanita di Copenhagen.



Saya ingat lagi kami secara sebulat suara bersetuju supaya isteri sebagai suri rumah dan ibu diiktiraf dan dibayar elaun. Sebabnya kami begitu sedar akan terjadi gejala sosial yang tidak boleh terkawal kerana pembangunan yang begitu pesat. Tetapi yang saya masih sedih dan sayu, kita sanggup membina bangunanyang berbilion-bilion, jambatan yang hebat tetapi peruntukan pembangunan ibu bapa dan anak-anak sukar diberikan.


Apa akan jadi kepada anak dan keluarga kita? Kadang-kadang saya menangis kerana hari ini susah hendak cari pemimpin yang sedar tentang betapa pentingnya perkara ini.


Dalam keadaan yang ada sekarang ini, di mana kedua ibu bapa perlu bekerja maka kita mestilah memikirkan cara dan polisi yang terbaik bagaimana anak-anak kita dapat dibesarkan sehungga menjadi khalifah di bumi Allah.


KHALIFAH DI BUMI ALLAH


Semua panduan ini telah diturunkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quran, sebuah kitab yang sesuai untuk apa jua zaman. Allah s.w.t juga menghadiahkan manusia (baka Homo Sapiens) yang secara fitrah atau potensi anak kecil boleh dibangunkan menjadi khalifah di bumi Allah. Allah s.w.t telah menganugerahkan manusia dengan otak dan sistem saraf yang membezakan manusia dengan binatang dan dengan itu boleh mencari cara untuk potensi atau fitrah manusia dicemerlangkan.


Jadi ibu bapa mesti tahu ilmu ini dan apa yang boleh menyerlahkan potensi ini serta apa pula yang akan menghalang atau mencacat cederakan fitrah itu. Janganlah kita hanya melaung-laungkan Program Bina Insan, tetapi cara dan pendekatannya tidak tepat. Saya difahamkan perbelanjaan seorang di dalam penjara atau pusat serenti lebih tinggi dari membiayai seorang anak di sekolah asrama penuh. Mengapa perkara ini tidak didebatkan dengan hangat. Mengapa kita asyik dengan menyanyi dan menari sahaja, tetapi anak-anak kita tidak menjadi "orang". Hari ini pepatah Melayu dahulu amat tepat sekali iaitu :


"Kera di hutan kita susukan, anak di rumah mati kelaparan." Satu lagi renungan untuk anda!.





oleh : Dato' Dr Noor Laily Dato' Abu Bakar (institut pembangunan keluarga & kanak-kanak NURY)

dipetik dari majalah wanita segmen permata hatiku






Tiada ulasan:

Catat Ulasan