Selasa, 31 Mac 2009

Mendekat Diri Kepada ALLAH Bersama Alam Semesta

BERTAFAKUR TERHADAP PENCIPTAAN LANGIT

Dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman yang ertinya:"Apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana Kami meninggikannya dan menghiasinya, dan langit itu tidak mempunyai retak-retak sedikit pun."(Qaaf:6)

P
ada ayat yang lain Allah s.w.t. berfirman yang ertinya:"Allah lah yang menciptakan tujuh langit dan demikian pula dengan bumi. Perintah Allah berlaku padanya agar kamu mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Dan sesungguhnya ilmu Allah benar-benar meliputi segala sesuatu."(At-thalaq:12)

Ketahuilah (semoga Allah merahmatimu), apabila kamu memperhatikan jagat raya ini secara bersungguh-sungguh, maka kamu akan memahami bahawa alam ini adalah umpama sebuah rumah yang dibina dan di dalamnya disiapkan segala sesuatu yang diperlukan oleh penghuninya. Langit yang tegak tinggi adalah umpama atap rumah, bumi luas yang terbentang adalah umpama permaidani, bintang-bintang yang bertebaran adalah umpama lampu penerangnya dan harta kekayaan yang terpendam adalah umpama simpanan yang bila-bila masa dapat digunakan. Kesemuanya disiapkan dan disediakan bagi keperluan manusia.

Adapun manusia adalah umpama seorang raja yang memiliki segala sesuatu yang ada di jagat raya ini. Bermacam jenis tumbuhan disediakan untuk memenuhi keperluannya dan berbagai macam haiwan dapat dimanfaatkan serta digunakan bagi kemaslahatannya.

Allah menciptakan langit dengan warna yang sangat indah lagi sedap dipandang mata. Bahkan ianya dapat memperkuatkan daya pandang mata seorang hamba. Seandainya langit itu bersinar dan mengeluarkan cahaya, tentu akan merosakkan mata yang memandangnya. Warna hijau ataupun biru sangat sesuai dan selesa bagi mata yang memandangnya. Pada saat memandang langit yang luas, jiwa akan merasa tenteram dan nikmat, lebih-lebih lagiketika muncul gugusan bintang dan cahaya rembulan.

Sebagai pemilik rumah, raja akan menghiasi tempat dan ruang yang ada di dalamnya dengan berbagai ukiran serta hiasan yang dapat menyejukkan mata yang memandangnya. Namun, seindah apapun hiasan dan ukiran tersebut jika mata kerap melihat dan memandangnya maka akan muncul kejemuan dan kebosanan, sehingga hilanglah segala kesenangan dan kenikmatan yang dirasakan.

Perkara tersebut akan berbeza jika seseorang memandang langit dengan segala hiasannya. Apabila manusia merasa bosan kerana sebab-sebab tertentu maka mereka biasanya akan mencari sesuatu yang dapatmencerahkan dan melapangkan perasaannya, iaitu dengan melihat luasnya langit dan tempat-tempat yang terbuka.

Para ahli hikmat berkata,"Kesenangan dan kenikmatan yang dapat kamu rasakan di rumahmu adalah bergantung kepada kesempatan yang dapat kamu gunakan ketika melihat langit dari rumahmu itu."

Langit juga dihiasi dengan bintang-bintang yang bertebaran dan bulan yang bersinar. Pergerakan dan perjalanan bintang tersebut dapat memberikan petunjuk dan panduan kepada umat manusia yang berada di segenap ufuk. Ada garis orbit yang menjadi jalan yang dilalui dari sebelah timur sehingga ke sebelah barat. Ia sangat teratur dan wujudnya tidak datang secara tiba-tiba.

Di langit juga ada sekumpulan bintang yang dapat memberikan petunjuk dan arah bagi orang-orang yang sesat dalam perjalanan. Perkara tersebut adalah sesuai dengan isyarat Allah dalam Al-Quran y
ang ertinya:"Demi langit yang mempunyai jalan-jalan."(Adz-Dzariyat:7)

Dijelaskan bahawa makna "
al-hubuk" adalah jalan-jalan. Ada juga yang menjelaskan bahawa maknanya adalah "yang memiliki hiasan", sehingga ayat tersebut dapat diertikan sebagai langit yang menjadi petunjuk yang sangat jelas yang dapat menunjukkan seorang hamba kepada Penciptanya. Ciptaan-Nya sangat jelas sehingga dapat menunjukkan keluasan ilmu Penciptanya. Demikian juga dengan berbagai perkara dan sistem orbit yang sangat tertib sehingga semua itu menunjukkan kehendak Zat yang mewujudkannya. Maha Suci Allah, Zat Yang Maha Kuasa, Maha Mengetahui lagi Maha Berkehendak.

Disebutkan pula bahawa memandang langit mempunyai sepuluh macam keuntungan, iaitu:

1. Mengurangkan berbagai keinginan.

2. Meminimumkan perasaan gelisah.

3. Menghilangkan rasa takut.

4. Mengingatkan diri kepada Allah.

5. Menimbulkan rasa keagungan (
ta'ziim) Allah di dalam hati.

6. Menghilangkan fikiran-fikiran yang kotor.

7. Bermanfaat bagi orang yang berada dalam kesedihan.

8. Menghiburkan orang-orang yang sedang rindu.

9. Menjinakkan orang-orang yang sedang mabuk cinta.

10. Satu cara untuk dikabulkannya permohonan orang-orang yang berdoa.





Dipetik dari buku "Mendekatkan Diri Kepada Allah Bersama Alam Semesta" oleh Imam Al-Ghazali















Tiada ulasan:

Catat Ulasan