Khamis, 26 Februari 2009

Pentingnya ilmu Keibubapaan

APA TELAH TERJADI KEPADA MASYARAKAT MALAYSIA HARI INI? KITA SERING DIPAPARKAN DENGAN BERITA PERBALAHAN ATAU PERGADUHAN BAIK DI PERINGKAT BAWAHAN HINGGALAH KE PERINGKAT PEMIMPIN. SIAPAKAH YANG BERSALAH HINGGA KITA MELAHIRKAN DAN MEMBESARKAN GENERASI SEPERTI INI?

Itulah antara sebabnya 24 tahun dahulu lagi saya telah menyarankan agar ibubapa diberi ilmu keibubapaan yang tepat, jelas, betul, dan tidak mengelirukan. Di samping itu oleh kerana kedua ibubapa bekerja maka, satu polisi dan program diwujudkan supaya anak-anak tidak di pajak gadaikan di merata-rata dan diberi peluang untuk memperoleh kasih sayang dan layanan yang sebaik-baiknya.

Jambatan, lebuhraya dan bangunan tinggi kita jaga tetapi anak-anak kita biarkan. Ilmu yang ada tidak diamalkan begitu juga dengan budi bahasa. Di mana-mana pun kita perhatikan keadaan seperti ini wujud. Saya sendiri pernah ditolak oleh pengawal keselamatan di Hospital Kuala Lumpur hingga lutut saya terpusing dan bengkak sampai sekarang. Mereka rasa berkuasa hingga kad yang saya tunjukkan dicampakkan ke lantai.

KESAN SOSIAL
Saya pernah ditanya oleh seorang pekerja saya apa panduan yang terbaik untuk dia mengerjakan umrah? Saya berkata tentulah niat kita hendak buat ibadah mengikut peraturan-peraturan umrah. Selain daripada itu, pada saya pula yang terbaik sekali ialah mencari sahaja peluang untuk membantu orang.

Jika melihat ada orang tua sedang menyeberang jalan, bantu dan pimpin tangannya. Jika orang bertanya tempat solat, tunjukkan kepada mereka. Demikian juga semasa mengelilingi Kaabah dan melakukan saie, jangan tolak-tolak.

Itulah ibadat yang terbesar sekali dan anda akan rasa sungguh puas dan bersyukur kerana telah diberi peluang ini. Pulang saja dari umrah setelah berjumpa dengan ibubapanya, pekerja tadi terus mencari saya dan terus mencium tangan saya.

Katanya,"saya sunguh bersyukur kerana dapat melaksanakan apa yang dinasihatkan dan saya merasakan ibadat umrah saya itu, alhamdulillah lebih berjaya. Terima kasih banyak-banyak"

Renungan saya ialah mengapa perkara ini tidak difikirkan sedalam-dalamnya oleh ahli fikir dan para pemimpin. Saya sudah puas beri taklimat ke sana sini tetapi nampaknya "tidak berkesan".
Kita berdebat tentang jambatan, "Ring Road" dan berbagai infrastruktur tetapi jarang sekali berbincang tentang masalah-masalah seperti ini.

Di sesetengah negara menjadi satu polisi apabila satu-satu projek seperti bangunan, jambatan atau lain-lain dicadangkan dibina, ini mesti disertai dengan kajian impak sosial dan kesan keatas anak dan keluarga di sekitar kawasan itu.

Saya juga pernah bertanya tentang aspek ini dalam satu majlis bila cadangan membina koridor-koridor dibuat, adakah kajian telah dibuat tentang impak sosial? Jawabnya tidak ada. Sedih sungguh saya rasakan.

Setiap hari kita lihat keadaan semakin buruk. Apabila ada seseorang membuat keputusan untuk keluar rumah untuk bekerja dan meninggalkan tugas asa sebagai isteri, ibu dan surirumah, seharusnya ada polisi dan program siapa pula yang akan menjalankan tugas-tugas ini.

ENAM BULAN PERTAMA
Saya pernah terlibat dalam perbincangan waktu saya mewakili negara, tentang Hal Ehwal Wanita di Bangsa Bangsa Bersatu dan isu-isu berkaitan termasuk pekerjaan yang pada asasnya tidak sesuai untuk wanita tetapi nampaknya hari ini kita hanya bercakap tentang "persamaan taraf antara wanita dan lelaki".
Dalam pada itu kita juga seharusnya memberi penekanan tentang waktu kelahiran dan 6 bulan pertama seseorang anak. Masa ini amat penting sekali bagi pembangunan anak kerana daripada waktu itulah otak dan sistem sarafnya amat pesat membangun.

Kalau dulu kita biasa mendengar risiko melahirkan anak dengan Sindrom Down sekiranya hamil selepas umur 40 tahun, tetapi kini sudah ada ibu yang berusia bawah 25 tahun melahirkan anak pertama dengan masalah ini akibat stres atau tekan yang dialami ibu di tempat kerja di samping faktor, sukar melahirkan, mengalami pembedahan dan juga mengambil berbagai ubat waktu mengandung. Anak juga tidak dapat diberikan susu ibu kerana terpaksa bekerja lepas 2 bulan dan ditukarkan kepada susu lembu.



oleh : Dato' Dr Noor Laily Dato' Abu Bakar (institut pembangunan keluarga & kanak-kanak NURY)

dipetik dari majalah wanita segmen permata hatiku





Tiada ulasan:

Catat Ulasan